Mac 29, 2012

EPISODE 1


Ini kisah seorang 'Aku'. Kisah yang sebenarnya hanya diketahui oleh Sang Khalik. Yang telah ditetapkan oleh-NYA sejak dari azali lagi.

Orang kata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itu peribahasa yang sering digunakan oleh orang kebanyakan. Tapi, lenturnya buluh itu ke arah mana ? Barat? Utara? Selatan? Atau Timur? Jika kita adalah orang yang bertanggungjawab untuk melentur buluh tersebut, maka kita bertanggungjawab melenturnya ke arah yang membawa kepada kebaikan. Bukan dengan membantu melentur sahaja kemudian, membiarkan buluh itu sendiri memilih arah !

Ketika orang lain memiliki segalanya, aku juga berkata, aku mempunyai segalanya apa yang orang punya. Mereka berharta, aku juga punya. Mereka berkeluarga, aku juga punya. Namun, semakin lama semakin aku sedari, aku tidak punya rasa 'bahagia'. Hari-hari aku biasa. Tiada rasa. Nikmat yang diberikan juga tidak dirasa. Apalagi mengucapkan rasa syukur setiap kali bangun keesokkan harinya. Sungguh ! Tiada terasa nikmat hidup.

Dosa mulai menjadi teman. Aku terjerumus. Aku tercampak di satu 'lembah' yang penuh dengan kejahatan. Penuh kotor. Jijik lagi hina. Tidak pernah aku terfikir untuk menghabiskan sisa hidup dengan melakukan dosa. Pahala? Langsung tidak pernah terlintas dibenak. Yang aku tahu, dosa yang ku lakukan semuanya 'biasa'. Masya Allah.

Namun, disaat masih melakukan dosa dan kemungkaran kepada Allah swt, DIA tidak pernah melupakan makhluk istimewa ciptaan-NYA. Rezeki demi rezeki aku terima. Umur makin dipanjangkan, nikmat dunia masih diberikan, ruang dan peluang banyak dibukankan untuk aku. Tetapi, aku masih belum menyedari akan semua itu. Aku masih leka, lalai.

Maka, dengan takdir Allah swt Yang Maha Berkuasa. DIA memberikan aku akal untuk berfikir. DIA memberikan aku situasi dimana aku boleh berfikir. DIA mencampakkan aku rasa kesedihan. Kesedihan dan rasa tidak tenteram dalam menjalani hidup. Hari-hariku penuh dengan ketakutan. Sesungguhnya DIA lah yang Maha Berkuasa membolak-balikkan hati setiap hambaNYA.

Disaat hati mula berfikir untuk menjadi lebih baik, Allah Maha Mendengar. DIA telah berikan aku orang-orang sekeliling yang baik dan beriman. Subahanallah ! Jiwa aku sentiasa bergetar setiap kali teringatkan kisah silam. Kisah yang tidak mungkin dapat dipadam seperti memadam kesan pensel pada kertas. Ia adalah parut yang paling dalam untuk diubati. Hanya taubat dan sabar sebagai ubatnya.

Tetapi, semua itu bukan mudah untuk diubati. Hati yang meronta-ronta ingin kembali kepada fitrah seakan-akan disekat. Mengapa? Mengapa? Aku tercari-cari jawapan sehingga suatu ketika. Aku membuka kalam Allah swt. Aku cuba membacanya. Lama.....

Aku tidak tahu membaca ! Aku teringat akan bagaimana teman-teman lain bersolat. Aku cuba mengambil wuduk yang sebenarnya aku sendiri tidak tahu betul atau tidak caranya. Aku menghampar sejadah. Berdiri tegak sambil mengingati niat yang harus ku bacakan sebelum bermula. 2 minit... 3 minit... Ahh! Bahasa arabnya sahaja aku tidak tahu ! Aku teringat ustazah di sekolah satu ketika dahulu pernah berkata, “Bahasa melayu pun boleh”. Barulah aku membaca niat.

Aku mengangkat takbir. Air mata jatuh menitis. Aku tidak tahu bagaimana bacaan dalam solat ! Aku tidak tahu aku seperti apa dihadapan Allah swt ketika itu. Aku merasa hina. Aku terduduk di atas sejadah. Aku menangis. Menangis. Dan terus menangis...

Bersambung..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...