Januari 11, 2012

SAYA USAHA CARI JODOH. TIDAK SALAH BUKAN ?

Keperluan kepada teman hidup di alam perkahwinan menjadi impian setiap wanita. Walaupun jodoh dan rezeki, ajal dan maut telah ditentukan ketika kita masih di alam rahim lagi, bukan bererti anda patut berserah diri dan tawakal buta semata-mata. Allah SWT menyukai hamba-hamba-Nya yang berikhtiar dan jerih payah mereka akan mendapat ganjaran pahalanya. 

Bagi wanita profesional yang sangat sibuk dengan kerjaya tentu saja mereka ada impian untuk berumahtangga, akan tetapi perancangan yang dibuat belum dapat terwujud disebabkan faktor-faktor tertentu yang menghalang hasrat mereka itu. Bagi mereka yang ingin mendapat jodoh yang baik dan kekal bahagia hingga ke akhir hayat seelok-eloknya anda meneliti beberapa tips yang akan membantu anda mencapai impian tersebut.

1. Tanamkan niat yang ikhlas.
Cuba selami hasrat hati anda dan temukan kejujuran di dalamnya bahawa anda amat memerlukan pasangan hidup, jangan mengelak dan menafikan kebenaran ini. Kemudian sandarkan hasrat itu pada ganjaran pahala yang dijanjikan Allah. Pernikahan adalah ibadah. Jalan untuk mensucikan diri dan akhlak, menambah rezeki dan amalan yang menyamai setengah dari agama. Sepertimana sabda Baginda SAW: ”Apabila seorang hamba telah berkeluarga, bererti ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka takutlah (bertakwa) kepada Allah dengan separuh yang lainnya.” (Hadis riwayat Al-Thabrani). 

Bahkan taraf pernikahan sama dengan kemuliaan berjihad di jalan Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: ”Tiga golongan orang yang pasti mendapat pertolongan Allah, iaitu hamba mukatab yang bermaksud melunasi perjanjiannya, orang yang menikah dengan maksud memelihara kehormatannya dan orang yang berjihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Al-Turmudzi, Al-Nasai, Al-Hakim, Al-Daru Quthni dengan darjat sahih). 

Niat untuk mendapatkan rezeki berupa zuriat yang salih adalah menjadi pendorong untuk menyegerakan pernikahan. Semaklah kata-kata Umar bin Al-Khattab ketika berkahwin. ”Sungguh, aku memaksakan diri berkahwin dengan harapan Allah akan mengkurniakan dariku makhluk yang akan bertasbih dan berzikir kepada-Nya.” Betapa besar pahala amal jariah yang dilakukan oleh pasangan yang menikah kerana Allah, kerana dari pernikahan itu akan lahir hamba-hamba Allah yang bersujud dan tersebarlah agama Allah ini dengan berkat pernikahan yang diredai-Nya.


2. Lakukan Muhasabah Diri.
Seorang wanita yang kenal dengan keperibadiannya sendiri adalah wanita yang cerdik dan matang. Sesetengah wanita merasa tiada keyakinan untuk hidup bersama seseorang yang bernama suami. Anda takut menghadapi risiko dan mungkin krisis rumahtangga yang menjejaskan kebahagiaan. Akhirnya perkahwinan menjadi suatu fobia bagi diri anda. Janganlah merasa bimbang kerana itu adalah hal yang normal, tetapi sikap putus asa dan tidak mahu berusaha untuk memperbaki diri adalah perkara negatif yang harus dielakkan. Segala sesuatu mempunyai risiko, hidup ini adalah perjalanan yang penuh dengan risiko. Yang terpenting adalah bagaimana anda menghadapinya dengan berani dan bersungguh-sungguh. Jangan takut sebelum berjuang. Kerana itu adalah sikap orang yang lemah. 

Muhasabah diri maknanya anda melengkapkan diri anda dengan sikap yang baik, minda yang positif, menjadi orang yang mudah didekati dan yang paling penting adalah menjaga hubungan dengan Allah sebaik-baiknya. Kerana apabila Rahmat Allah telah tercurah di hati seorang wanita, maka Allah menjadikan seluruh manusia sayang dan kasih kepadanya. Jika orang-orang di sekeliling anda melihat sesuatu yang istimewa pada diri anda, pastikan ianya berasal dari keteguhan iman dan keperibadian anda yang salihah. Demikianlah sabda Rasulullah SAW: Dalam hadis qudsi Allah berfirman: ”Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah ia. Kemudian Jibril mencintai orang itu dan berkata ia kepada penghuni langit, ”Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia. Maka penghuni langitpun mencintai orang itu, setelah itu kecintaan-Nya diteruskan kepada penghuni bumi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


3. Ikhtiar Mencari Pasangan.
Dalam Islam, hak memilih pasangan bukan hak monopoli lelaki saja. Wanita juga disuruh untuk menentukan dengan siapa dia mahu dikahwinkan. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: ”Jangan kamu kahwinkan seorang gadis kecuali dengan izinnya, sedangkan persetujuannya adalah diamnya.” Usaha untuk mendapat teman hidup mesti dilakukan dengan serius dan bersungguh-sungguh. Dengan syarat anda mesti menjaga adab-adab dan akhlak dalam menjalinkan perhubungan dengan kaum lelaki. Penglibatan anda dalam pelbagai komuniti selain di tempat kerja adalah amat digalakkan agar anda dapat berkenal-kenalan dengan tujuan dan niat yang ikhlas. Tidak salah jika anda meminta tolong orang lain untuk mencarikan lelaki yang sesuai. Begitulah yang pernah dilakukan oleh Khadijah RA ketika meminang Rasulullah SAW, tetapi anda harus memilih orang yang amanah dan jujur untuk kerja ini. Pilihan orang tua tiada salahnya untuk dipertimbangkan.
Yang paling penting ialah proses memilih mesti dengan syarat. Iman dan akhlak yang mulia dijadikan syarat mutlak bagi lelaki yang akan mendampingi hidup anda sepanjang hayat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: ”Jika datang kepada kalian orang yang baik agama dan akhlaknya maka nikahkanlah dia dengan putrimu.” (Hadis riwayat al-Turmizi). Jangan lupa berdoa dan sembahyang istikharah supaya Allah menenteramkan hati anda untuk bersedia memilih yang terbaik. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: ”Mintalah fatwa (pendapat) pada hatimu, kebaikan itu adalah apa-apa yang tenteram jiwa padanya dan tenteram juga hati. Dan Keburukan (dosa) itu adalah apa-apa yang syak dalam jiwa dan ragu-ragu dalam hati walaupun orang-orang memberi fatwa (pendapat) kepadamu dan mereka membenarkannya.” 


4. Jangan cerewet memilih dan jangan pula terburu-buru.
Apabila anda disuruh menilai lelaki yang akan menjadi calon suami anda, akan timbul perasaan sensitif dalam hati anda. Bahkan anda akan lebih berasa sensitif dari kebiasaannya. Anda menjadi lebih kuat insting dan ketajaman menilai orang lain. Peka dengan kekurangan-kekurangan pada diri lelaki tersebut. Atau sebaliknya merasa dia lebih hebat dari anda sehingga timbul sikap rendah diri yang akhirnya memusnahkan keinginan untuk meneruskan perhubungan itu. Dilema yang dihadapi timbul dari penyakit-penyakit hati yang kurang ikhlas. Menjadi sensitif adalah baik dalam hal-hal yang penting dan asasi seperti agama dan akhlaknya, tetapi sikap terlalu cerewet dalam hal yang remeh temeh sudah menunjukkan anda tidak matang dalam memilih. Padahal lelaki itu hanya kurang sedikit tinggi atau agak gelap kulitnya. Bukankah yang paling mulia di sisi Allah yang paling takwa? 

Akan tetapi jangan pula terburu-buru menerimanya tanpa usul periksa. Sikap berhati-hati amat penting sepertimana kisah berikut ini ketika Umar RA menilai seorang sahabat yang meminta jawatan penting dalam pentadbirannya. Lalu beliau menyuruh orang tersebut memanggil sahabat terdekatnya. Umar bertanya: ”Apakah engkau kenal orang ini? Jawabnya: ”Ya”. ”Apakah engkau menemaninya dalam perjalanan yang jauh sehingga engkau tahu perangai serta akhlaknya? Jawabnya: ”Tidak.” ”Apakah engkau pernah bermuamalah dengannya sehingga engkau tahu dia sangat takut memakan harta yang haram? Jawabnya: ”Tidak.” ”Apakah pernah terjadi permusuhan antara engkau dan dia?” Jawabnya: ”Tidak” Apakah kau hanya mengenalnya ketika ia duduk di masjid? ” Jawabnya: ”Ya. Pergilah kau dari sini, kamu sesungguhnya tidak mengenal saudaramu itu selain melihatnya mengangkat dan menundukkan kepala di masjid.” Dalam memeriksa dan menilai orang lain khalifah Umar RA amat teliti dan berhati-hati. Demikian pula dengan anda yang hendak memilih seorang pendamping yang akan membimbing anda di jalan Allah dalam suka dan duka. Teliti tetapi jangan terlalu cerewet dan mintalah petunjuk Allah dalam memilih. Dan jangan pernah berhenti berikhtiar untuk mendapatkan syurga dunia dan akhirat.



Sumber :DrJuanda.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...