Ogos 12, 2011

MEMILIH SAHABAT SEJATI

Dalam satu hadis lain Nabi saw bersabda, "Seseorang bergantung pada agama kawannya, maka hendaklah salah seorang di kalangan kamu semua melihat dengan siapa dia berkawan." 
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Daripada hadis diatas, jelas bahawa Rasulullah secara tegas memerintahkan umatnya supaya bersahabat dengan orang yang baik-baik dan bertakwa. Kita memerlukan sahabat sejati dalam mengharungi kehidupan yang penuh muslihat.

Sebuah kata-kata dari Khalil al-Musawi :
"Memilih sahabat perlu dilakukan dengan cermat dan teratur, bukan secara spontan. Ini kerana persahabatan bermaksud kehidupan bersama. Bagi sahabat tahap pertama (sangat rapat), pemilihannya harus lebih cermat. Pada umumnya, sebab gagalnya meneruskan persahabatan kerana mereka tersilap dalam pemilihan. Kegagalan pemilihan dalam persahabatan disebabkan sikap tergesa-gesa dan lebih mendahulukan perasaan. Perkara yang penting untuk dipertimbangkan dalam memilih sahabat adalah amalan Islam. Seorang sahabat haruslah bersahabat kerana Allah, dipercayai dan cekap sehinggakan dia dapat memberikan sumbangan dalam memajukan amal perbuatannya."

Khalil al-Musawi juga memberikan secara terperinci tujuh perkara yang dapat menjadikan persahabatan anda berkekalan:

  1. Anda menyukai apa yang mereka sukai dan membenci apa yang mereka benci
  2. mengelakkan kemarahannya, mencari keredhaannya dan menuruti perintahnya
  3. membantu mereka dengan harta anda, lisan anda, tangan dan kaki anda
  4. anda menjadi mata, petunjuk, cermin dan pakaian mereka
  5. jangan anda kenyang, sedangkan mereka lapar dan jangan anda puas minum, sedangkan mereka kehausan
  6. anda harus memenuhi jemputannya, menjenguknya ketika sakit dan menghantar jenazahnya apabila meninggal dunia
  7. jika anda mengetahui dia mempunyai keperluan, maka segera memenuhinya tanpa menunggu sehingga dia meminta terlebih dahulu
Kadang kala manusia tergesa-gesa dalam memilih sahabat sehingga memilih yang bodoh. Ali bin Abi Talib berkata, "Elakkan bersahabat dengan orang yang bodoh kerana boleh jadi ketika dia bertujuan menguntungkanmu, namun jelas merugikanmu. Elakkan bersahabat dengan orang yang kikir kerana dia akan mengabaikanmu ketika  kamu memerlukannya. Elakkan bersahabat dengan orang yang suka melakukan maksiat kerana dia akan menjualmu dengan unta betina. Elakkan bersahabat dengan orang yang suka berbohong kerana dia akan mendekatkan sesuatu yang jauh dan menjauhkan sesuatu yang dekat."

Namun demikian, sebagai seorang muslim, kita dilarang membeza-bezakan teman. Perlu diingat bahawa adanya sahabat yang rapat bukan bermakna membataskan seseorang hanya pada beberapa orang sahabat sahaja dan menghadkan persahabatan dengan orang lain.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini :

Seorang pemuda yang ketagih dadah, kemudian masuk ke penjara ditanya, "Mengapa kamu sehingga masuk penjara dan menjadi penagih dadah?" Dia hanya menjawab pendek, "Saya terpengaruh dengan kawan!"
Perhatikan bagaimana penduduk neraka yang saling bergaduh, mereka bersumpah bahawa mereka benar-benar berada dalam kesesatan, lalu mereka menyebutkan sebab kesesatan mereka, yakni al-mujrimun (orang yang berdosa)..

Allah swt berfirman, yang maksudnya :

"Mereka berkata, sambil bertengkar sesama sendiri dalam Neraka: Demi Allah! Sesungguhnya kami (semasa di dunia dahulu) adalah di dalam kesesatan yang jelas nyata, Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam. Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa. Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberikan pertolongan , Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa. Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman." (Surah Asy-Syu'ara:96-102)


Nauzubillah..








1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...