Ini kisah seorang 'Aku'. Kisah yang
sebenarnya hanya diketahui oleh Sang Khalik. Yang telah ditetapkan
oleh-NYA sejak dari azali lagi.
Orang kata, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Itu peribahasa yang sering digunakan oleh orang
kebanyakan. Tapi, lenturnya buluh itu ke arah mana ? Barat? Utara?
Selatan? Atau Timur? Jika kita adalah orang yang bertanggungjawab
untuk melentur buluh tersebut, maka kita bertanggungjawab melenturnya
ke arah yang membawa kepada kebaikan. Bukan dengan membantu melentur
sahaja kemudian, membiarkan buluh itu sendiri memilih arah !
Ketika orang lain memiliki segalanya,
aku juga berkata, aku mempunyai segalanya apa yang orang punya.
Mereka berharta, aku juga punya. Mereka berkeluarga, aku juga punya.
Namun, semakin lama semakin aku sedari, aku tidak punya rasa
'bahagia'. Hari-hari aku biasa. Tiada rasa. Nikmat yang diberikan
juga tidak dirasa. Apalagi mengucapkan rasa syukur setiap kali bangun
keesokkan harinya. Sungguh ! Tiada terasa nikmat hidup.
Dosa mulai menjadi teman. Aku
terjerumus. Aku tercampak di satu 'lembah' yang penuh dengan
kejahatan. Penuh kotor. Jijik lagi hina. Tidak pernah aku terfikir
untuk menghabiskan sisa hidup dengan melakukan dosa. Pahala? Langsung
tidak pernah terlintas dibenak. Yang aku tahu, dosa yang ku lakukan
semuanya 'biasa'. Masya Allah.
Namun, disaat masih melakukan dosa dan
kemungkaran kepada Allah swt, DIA tidak pernah melupakan makhluk
istimewa ciptaan-NYA. Rezeki demi rezeki aku terima. Umur makin
dipanjangkan, nikmat dunia masih diberikan, ruang dan peluang banyak
dibukankan untuk aku. Tetapi, aku masih belum menyedari akan semua
itu. Aku masih leka, lalai.
Maka, dengan takdir Allah swt Yang Maha
Berkuasa. DIA memberikan aku akal untuk berfikir. DIA memberikan aku
situasi dimana aku boleh berfikir. DIA mencampakkan aku rasa
kesedihan. Kesedihan dan rasa tidak tenteram dalam menjalani hidup.
Hari-hariku penuh dengan ketakutan. Sesungguhnya DIA lah yang Maha
Berkuasa membolak-balikkan hati setiap hambaNYA.
Disaat hati mula berfikir untuk menjadi
lebih baik, Allah Maha Mendengar. DIA telah berikan aku orang-orang
sekeliling yang baik dan beriman. Subahanallah ! Jiwa aku sentiasa
bergetar setiap kali teringatkan kisah silam. Kisah yang tidak
mungkin dapat dipadam seperti memadam kesan pensel pada kertas. Ia
adalah parut yang paling dalam untuk diubati. Hanya taubat dan sabar
sebagai ubatnya.
Tetapi, semua itu bukan mudah untuk
diubati. Hati yang meronta-ronta ingin kembali kepada fitrah
seakan-akan disekat. Mengapa? Mengapa? Aku tercari-cari jawapan
sehingga suatu ketika. Aku membuka kalam Allah swt. Aku cuba
membacanya. Lama.....
Aku tidak tahu membaca ! Aku teringat
akan bagaimana teman-teman lain bersolat. Aku cuba mengambil wuduk
yang sebenarnya aku sendiri tidak tahu betul atau tidak caranya. Aku
menghampar sejadah. Berdiri tegak sambil mengingati niat yang harus
ku bacakan sebelum bermula. 2 minit... 3 minit... Ahh! Bahasa arabnya
sahaja aku tidak tahu ! Aku teringat ustazah di sekolah satu ketika
dahulu pernah berkata, “Bahasa melayu pun boleh”. Barulah aku
membaca niat.
Aku mengangkat takbir. Air mata jatuh
menitis. Aku tidak tahu bagaimana bacaan dalam solat ! Aku tidak tahu
aku seperti apa dihadapan Allah swt ketika itu. Aku merasa hina. Aku
terduduk di atas sejadah. Aku menangis. Menangis. Dan terus
menangis...
Bersambung..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan