Januari 31, 2012

UNTUK SI CELUPAR

Adakah anda pernah terfikir dan sedar anda bermulut celupar? Sedarkah anda apabila kita berbicara, tanpa disedari kita telah mengguris hati dan perasaan orang lain? Pernahkan anda dipinggirkan kerana anda suka bercakap ‘lepas’?

Sebagai manusia biasa, kita tidak pernah terlepas dan lari dari melakukan kesilapan dalam segala tindakan serta percakapan harian.

Rasulullah telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan dan petua yang berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain mulut celupar.

Pertama, Rasulullah menyuruh kita diam apabila terdorong untuk bertutur perkara yang tidak sepatutnya.
Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa Rasulullah pernah berpesan, 

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”


Kemudian, Rasulullah menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama kita.

Menurut sahabat Ibnu Umar, Rasulullah pernah berkata, “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati.”

Rasulullah pernah menyatakan menerusi Imam Bukhari, terdapat dua kalimat zikir yang paling disukai oleh Allah SWT yang sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat untuk diamalkan.

Kedua-dua kalimat itu adalah ’subhanallah wa bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’ yang membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan, ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’

Selain itu, dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca ‘subhanallah wa bihamdihi’ sebanyak 100 kali sehari, maka semua dosanya diampunkan oleh Allah SWT meski pun sebanyak buih di lautan.

Ketiga, Rasulullah mengajar agar kita sentiasa beristighfar untuk mengelakkan lidah kita dari terus ‘rancak’ membicarakan perkara yang kita sendiri tidak ketahui akan kesahihannya.

Istighfar bermaksud memohon keampunan dan kita digalakkan untuk beristighfar sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, ‘Astaghfirullahazim’ disertakan ‘perasaan menyesal’ di dalam hati.

Rasulullah dalam amalan hariannya selalu beristighfar sebanyak 100 kali untuk mengelakkan keburukan dalam lidahnya.

Jika Rasulullah yang maksum dan baik tutur kata beristighfar kepada Allah sebanyak itu, bagaimana pula agaknya jumlah kuantiti istighfar orang yang mempunyai penyakit lisan?

Bagi mereka yang ingin berubah, tidak salah kalau ingin mencuba dan mengamalkan formula dan teknik yang Rasulullah amalkan supaya kita dapat memperbaiki diri serta tidak sekali-kali ‘meletakkan’ manusia lain itu lebih rendah dari diri kita sendiri.
 
Yang baik itu eloklah kita ambil sebagai ilmu dan pengajaran serta hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa sifat mazmumah dalam diri kita. Insyallah.


sumber : mynewshub 

ANAK MUDA YANG SAKIT !

Keluar berjalan-jalan di hujung minggu dengan satu tujuan adalah sesuatu yang wajib kita lakukan. Mahu tidak mahu, harus keluar. Keluar bukan dengan kenderaan sendiri menjadikan pemandangan kita lebih luas. Berada dalam tempat awam seperti kenderaan awam juga menjadikan otak kita berfikir ligat sementara kenderaan yang kita naiki sampai ke destinasi.

Suasana keretapi dan stesen keretapi penuh dengan manusia yang masing-masing punya tujuan sendiri. Jika kita ada mata yang tajam, kita akan sentiasa teperasan dengan gelagat-gelagat anak muda di tempat awam. Ada yang berjalan bersama-sama rakan sesama jantina, ada yang bersama adik beradik atau sepupu, dan tidak kurang juga 'anak-anak muda yang sakit'.

'Anak-anak muda yang sakit' ini termasuklah, remaja-remaja bertindik, bertatu, berseluar londeh, mahupun pasangan remaja yang sedang berjalan-jalan atau duduk melepak sambil berpelukan.



Di mana rasa malu mereka ? Berpuluh malah jutaan manusia lain melihat adegan pasangan-pasangan ini ditempat awam. Apa agaknya perasaan ibu bapa mereka andai terserempak anak-anak muda ini ketika sedang bercengkerama ? 

Keluhan berat meniti dibibir sesetengah golongan. Anak ibarat sehelai kain putih. Ibubapa juga lah yang mencorakkannya. Ada ibubapa yang terasa sudah berpuas hati dengan cara didikan mereka pada anak-anak. Ada ibubapa yang sentiasa melihat anak-anak sendirilah punca mereka bersosial sehingga melampaui batas.

Walauapapun yang dianggap atau pendapat sesetengah pihak, yang pastinya anak-anak muda kita sekarang sedang 'sakit'. Selain ibubapa, pemerintah sesebuah negara juga perlu mengambil berat tentang hal ini kerana anak-anak muda adalah aset yang begitu penting pada negara.





kasutkaripap: Boleh dapat gred apa ya karangan ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ? ahaks~

Januari 30, 2012

KITA HARAPKAN PELANGI, TAPI HUJAN YANG TURUN

Barangkali kita selalu terfikir. Kenapa kita tidak mendapat apa yang kita harapkan. Mengapa apa yang kita impikan, tidak kita kecapi. Walaupun berusaha dan mencuba. Walaupun kita yakin bahawa diri layak. Semua yang kita inginkan masih tidak kita perolehi.

Malahan, kita mendapat sesuatu yang tidak kita sangka. Adakalanya mendapat sesuatu yang buruk. Mudahnya kita berkata, "Tidak apa, redha sahaja". Tetapi, syaitan itu tidak pernah puas mengganggu keturunan Nabi Adam. Di saat kita berkata redha, hati sedikit sebanyak memberontak ketika syaitan menyuntik perasaan 'cemburu' dalam diri kita. Mulalah kita bertanya pada diri, "Kenapa aku tak dapat ? Sedangkan aku berhak dapat ?". "Aku selalu pergi masjid dari dia, tapi kenapa aku tak dapat macam yang dia dapat ?". Dan macam-macam lagi.

Pelbagai lagi persoalan yang kita fikirkan akan timbul. Otak kita seperti sedang berfikiran waras. Namun sebenarnya, suntikan syaitan telah meresap jauh ke dalam hati kita. Penyakit hati mula berlaku, emosi mula merajai diri. Semua yang kita redha, kini bertukar menjadi dendam. 

"SABAR ITU ADALAH DENDAM YANG TERINDAH"

Benar. Rasa sabar itu satu rasa yang halus. Kita mungkin tidak dapat pelangi yang kita harapkan, malah mendapat hujan lebat. Walau tiada pelangi indah, bukankah air hujan itu juga satu nikmat ? Kita hanya melihat hujan sebagai penghapus impian kita melihat pelangi. Namun, kita tidak sedar air hujan itu telah diturunkan untuk tujuan lain. Mungkin untuk menyejukkan bumi yang selama ini tandus. Disebalik keburukan ada terselit kebaikan yang tidak kita sangka. Begitulah ADILnya Allah SWT.

Begitulah manusia. Fitrah manusia. Lemah dan sering terlupa. Sering lalai. Manusia bukan malaikat. Tidak sesempurna malaikat. Itulah hakikat. Yang pastinya kita haruslah sentiasa melihat diri kita dan mengingati Allah SWT. InsyaAllah. Tiada bisikan syaitan yang akan berjaya mengganggu kita.


kasutkaripap : satu luahan rasa yang awak, awak, awak dan juga saya rasa.muhasabah diri. kerana kita semua manusia :)




....

Kadang diri terasa kuat.

Jangan riak !

Bukan kita yang kuat...

Tapi, Allah lah yang memberi kekuatan itu.

Kadang diri terasa berhak.

Salah !

Allah lebih berhak daripada kita, walaupun dengan diri sendiri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...